PERUTUSAN PEMANGKU PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) SEMPENA MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE 37 TAHUN 2021
Terbitan Arkib Parti Pembangunan Bangsa
Bil 97 Keluaran 22hb Februari 2021
PERUTUSAN
PEMANGKU PRESIDEN
PARTI
PEMBANGUNAN BANGSA (NDP)
SEMPENA
MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN
NEGARA
BRUNEI DARUSSALAM
KE 37 TAHUN
2021
Dipanjatkan syukur kehadrat Allah SWT
yang telah memberikan limpah dan rahmatNya kepada kita semua dalam sekali lagi
meraikan sambutan hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali yang ke 37 pada
tahun ini tahun 2021.
Selawat dan Salam ke atas junjungan
besar kita Nabi Muhammad SAW dan Kaum keluarga serta para Sahabat Baginda yang
jujur lagi setia sehingga ke akhir zaman.
Saya bagi pihak kepimpinan dan
seluruh ahli ahli Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dimana pun mereka berada
mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan bagi Negara kita Negara Brunei
Darussalam dan kepada seluruh rakyat serta penduduk Negara ini.
Sesungguhnya Hari Kebangsaan
merupakan hari kemerdekaan dan hari kemenangan bagi bangsa dan Negara kita,
yang sayugianya disambut dan diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dan
penduduk Negara ini bagi memperingati hari kebebasan Negara dan Bangsa kita
dari belenggu penjajahan pada 37 tahun yang lalu.
Namun pada tahun ini Negara sedang
berhadapan dengan cabaran penularan pandemik covid19 yang masih saja belum reda
di kebanyakan Negara luar walau pun Negara kita telah berhasil mengawalnya dari
terus merebak namun kita juga tetap siap siaga dan tidak boleh leka serta lalai
mengenai musuh yang tidak nampak dimata ini.
Dalam pada itu kita harus memberikan
pujian dan sanjungan kepada pihak yang berwajib terutama kepada Kementerian
Kesihatan dan barisan hadapannya serta agensi yang terkait dalam penanganan
pandemik ini yang telah menunjukan prestasi yang cemerlang, berdidikasi dan
berjaya membendung wabak dari terus menular.
Di sisi yang lain urutan dari
pandemik ini sedikit sebanyak turut memberi pengaruh kepada soal ekonomi dan
kehidupan yang menyangkut keperluan rakyat dan mesyarakat serta perubahan dan
aturan baharu yang diciptakan oleh pandemik berkenaan.
Namun kita bersyukur bahawa
mesyarakat kita telah mula memahami dan patuh segala arahan dan saranan dari
pihak berkuasa betapa pentingnya kita sama sama menjaga dan bertanggungjawab
memutus mata rantai pandemik dari terus merebak.
Kepatuhan ini adalah kunci kejayaan
semua dan disertai dengan sentiasa bermunajat kehadrat Allah SWT agar kita dan
Negara semuanya terlindung dari apa jua bahaya yang menimpa baik nampak atau
pun tidak.
Saudara saudari sekalian,
Hari Kebangsaan yang Negara dan kita
raikan pada tahun ini dan tahun tahun sebelumnya adalah suatu lambang kecintaan
kita terhadap Negara yang di dalamnya kita duduk dan bermastautin di bumi yang
diberkahi kekayaan dengan sumber alam yang melimpah.
Tiga puloh tujuh (37) tahun setelah
kemerdekaan kini adalah masa bagi semua pihak merancakkan dan menjayakan pembangunan
Negara dimana pada masa zaman penjajahan dahulu kita sedianya maklum dan
merasai bahawa pembangunan berada ditahap rendah dengan kekangan oleh pihak
penjajah tersebut.
Sekarang kita dapat saksikan dan sama
menikmati pembangunan itu ada dimana mana walau pun kita masih belum berpuasa
hati namun ia tetap berperoses sehingga ke akhir zaman. Oleh kerana itu tugas
membangun Negara bukanlah terletak disatu pihak saja malah ia seharusnya
menjadi tanggungjawab bersama bagi seluruh elemen masyarakat, rakyat dan
Kerajaan di Negara ini untuk menjayakannya sesuai dengan fungsi masing masing.
Pembangunan yang terlihat jelas dan
nyata dimata kita ialah pembangunan infrastruktur seperti Jambatan Sultan Omar
‘Ali Saifuddin (SOAS) yang menghubung Daerah Temburong dengan Daerah Brunei
Muara, dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dari Sungai Lampai ke Sungai Kebun dan Jambatan merentasi Sungai
Pandaruan yang menghubungkan Temburong dengan Limbang, Malaysia. Di samping itu
pembangunan perumahan untuk rakyat juga telah dilaksanakan dengan jumlah yang
besar walau pun masih kurang dan perlu di bina dari masa ke semasa bagi
mencapai keperluan dan kesejahteraan.
Mengenai dengan Tema hari Kebangsaan
pada tahun ini ia juga merupakan satu ajakkan atau seruan kepada semua bagi
menggalas tugas penting dalam mereaslisasikan agenda mega Kerajaan dan Negara untuk
mempastikan tahun 2035 nanti rakyat dan Negara sudah berada dan menikmati
sebuah Negara yang maju diantara sepuloh terbaik dunia dalam bidang Pendidikan,
berkemahiran tinggi dan berjaya. Kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi dan
Ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan itulah matlamat wawasan tersebut.
Dalam hubungan ini tugas penting
tentulah terletak di bahu para pelaksana dan para pembuat dasar berkenaan
kerana merekalah yang menyusun dan merencanakan progrem jangka waktu dan masa,
fasa demi fasa seperti yang disasarkan.
Dalam tempoh kira kira empat belas
(14) tahun dari sekarang tentu bukanlah masa yang panjang untuk sampai kepada
tujuan tersebut. Para ahli dan jawatankuasa yang dibentuk perlu juga mengkaji
dan menilai sejauh mana pencapaian yang diraih dan menyebar luaskan demi untuk
perkongsian seluruh elemen masyarakat akan perkembangannya.
Demikian juga yang menjaga
kepentingan adalah diharapkan dapat mendorong dan memberikan sudut pandang yang
positif atau sebaliknya terhadap perlaksanaan wawasan tersebut dari mereka yang
mempunyai wewenang khusus seperti ahli ahli Majlis Mesyuarat Negara perlu juga
pro aktif dan mempunyai keberaniaan dan ketegasan dalam memberikan timbang
taranya agar semua pihak saling mengisi dan memberi dalam semua aspek.
Saudara Saudari Sekalian,
Disebalik keghairahan dan keinginan
bersama untuk menjayakan Wawasan Negara tidak kurang juga Negara dan kita semua
berada dalam suasana menghadapi cabaran yang tidak mudah disebabkan pandemik
covid19. Ekonomi seluruh dunia juga telah mula menerima hambatan, mudah mudahan
saja Negara kita terhindar dari kesulitan ekonomi dan dapat meneruskan agensi
besar Negara dengan baik dan lancar.
Seperkara lagi yang harus diambil
perhatian ialah mengenai sikap dan kesungguhan semua pihak dalam menggalas
tugas dan tanggungjawab besar ini.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP) amat
terharu dengan sikap dan kesungguhan Kebawah DYMM yang sanggup Bercemar Duli
turun kelapangan membuat lawatan demi lawatan yang tidak berjadual ke
Kementerian Kementerian dan Jabatan jabatan Kerajaan bagi memastikan sistem
penyampaian (delivery system) berjalan dengan baik seperti semestinya.
Namun sangat mengkhuatirkan setiap
lawatan lawatan Baginda hampir tidak luput dari permasalahan yang sedia ada di
Kementerian dan Jabatan Baginda angkat kepermukaan. Senario sebegini amat
membimbangkan kita semua dalam meneruskan agenda besar Negara.
Kita berharap semua pihak terutama
mereka yang diamanahkan yang mempunyai tanggungjawab harus berlapang dada dan
mempunyai keberanian dalam merungkai permasalahan yang ada sebelum sampai
kepermukaan.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dalam
menjalankan tugas Politiknya dan menjadi rakan strategik kepada Kerajaan dalam
semangatnya telah pernah memohon mengadakan pertemuan silaturrahim diantara
Kepimpinan parti dengan para Menteri di Kementerian masing masing namun
sehingga kehari ini masih belum mendapat respon yang positif. Kecuali
Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang
telah bersedia untuk memenuhi permohonan dari pihak Parti.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP)
mengucapkan ribuan terima kasih yang sebesar besarnya walaupun pihak parti
hanya ditemui dan disambut oleh dua (2) orang Setiausaha Tetapnya dan berserta
beberapa orang pegawai kanannya namun pihak parti tetap berbesar hati
setidaknya dapat bertukar pandangan dan pihak parti mendapat gambaran jelas
akan perancangan pihak Kementerian yang tentunya pihak parti dapat memberikan
sumbangan dalam memahamkan ahli parti dan masyarakat melalui mekanisme parti
mengenainya.
Dari itu kita menyeru para elite
janganlah terlalu menutup diri. Parti Pembangunan Bangsa(NDP) ingin menegaskan
kita bukanlah saingan dan sememangnya tidak ingin bersaing hanya ingin membuka
huluran tangan mungkin saja bermanfaat bagi semua untuk kepentingan bangsa dan
Negara.
Akhirnya sekali lagi bagi pihak
Kepimpinan dan ahli ahli Parti diucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam ke 37 kepada seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei
Darussalam.
Sekian,
Menjunjung Titah Membangun Bangsa
Ulasan
Catat Ulasan